Tuesday, June 30, 2009

WACANA IKRAB SIRI KETIGA: Y.BHG. PROF. DR. MUHAMMAD TAWFIQ RAMADAN AL-BOUTI

WACANA IKRAB SIRI KETIGA

PERBANKAN ISLAM: BEBERAPA ISU BERBANGKIT DALAM
PERBANKAN ISLAM - SATU KUPASAN TERHADAP PENGALAMAN DI NEGARA SYRIA


Oleh

Y.Bhg. Prof Dr. Muhammad Tawfiq Ramadan Al –Bouti

23 Disember 2008
2.30 petang
Bilik Seminar Siswazah, FPI
Sinopsis:
Ceramah beliau menyentuh tentang beberapa ruang lingkup syariah Islamiah yang menyeluruh, termasuk bidang kewangan. Beliau menyentuh beberapa aspek tentang sistem perbankan dan sistem kewangan Islam di kebanyakan negara Islam, termasuk Malaysia. Berkenaan sistem kewangan dan perbankan Islam di Syria, dinyatakan bahawa kerajaan Syria serius membangunkan sistem kewangan Islam. Beliau menjadi salah seorang pakar rujuk dan lembaga perundingan kepada bank Negara Syria untuk sistem kewangan Islam dan perbankan Islam.

Sesuatu yang ditekankan oleh sistem kewangan Islam di Syria ialah menjadikan syariah Islam sebagai landasan kepada sistem kewangan dan perbankan Islam. Beberapa perkara yang dianggap sebagai kurang tepat dalam amalan kewangan dan perbankan Islam di sesetengah negara Islam telah cuba untuk diperbetulkan dan kembali kepada pendapat ulama syariat Islam secara lebih teliti. Justeru, beberapa mekanisme dan produk kewangan yang dilabelkan sebagai Islamik telah diteliti dan dinilai semula agar lebih menepati hukum syariat Islam dan memenuhi falsafah perundangan Islam yang sentiasa menitikberatkan soal keadilan dan kesaksamaan dalam setiap muamalahnya. Sesuatu produk yang ada unsur penindasan harus dielakkan, kerana menggunakan nama Islam untuk menghalalkan sesuatu produk kewangan bertentangan dengan semangat dan falsafah perundangan Islam.